PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA


MAKSUD PERPADUAN

Perpaduan  ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains kemasyarakatan.

Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza. Dalam masyarakat ringkas atau biasa ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi. Bagi masyarakat yang lebih kompleks pula terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat.



FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA PERPADUAN DI MALAYSIA

        i.            Kerajaan juga mengambil inisiatif yang proaktif dengan menggalakkan rakyat saling  mengambil berat antara satu sama lain
      ii.            Media massa juga memainkan peranan yang signifikan dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
    iii.            Menanam semangat  perpaduan antara kaum sejak kecil lagi.
    iv.            Mencegah sifat  yang  dapat menimbulkan perbalahan antara kaum  dan  agama.
      v.            Tidak meletakkan sebarang batasan untuk bergaul dengan sesebuah atau  sesuatu kaum dan agama.
    vi.            Kerajaan sentiasa berusaha agar sikap bersatupadu wujud dalam diri rakyat Malaysia  walau dimana pun berada

       Malaysia merupakan Negara yang sedang membangun bukan sahaja dari bidang pertanian, perindustrian, sukan dan lain-lain. Malaysia dikategorikan sebagai Negara yang istimewa kerana mempunyai pelbagai kaum utama iaitu Malayu, Cina, India dan sebagainya. Perkembangan Negara yang pesat beserta dengan keadaan yang keistimewaan ini membolehkan Negara Malaysia duduk sama rendah berdiri sama tinggi  dengan negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, China termasuklah negara jiran Singapura. Kejayaan Negara Malaysia mengekalkan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum sejak merdeka hingga kini amat mengagumkan.

          Usaha Malaysia dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum tidak membuahkan hasilnya tanpa pegangan teguh konsep dan gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia . Gagasan 1 Malaysia ini secara jelasnya megutamakan keadilan dan kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa mengira kaum dan agama, iaitu usaha mewujudkan satu bangsa Malaysia berdasarkan pembentukan warganegara yang menganut pelbagai budaya dan agama, dan bukan bercirikan integrasi bangsa dan dan agama. Dengan menghayati konsep ini, kebajikan setiap kaum dapat dijaga, malah dipenuhi. Misalnya, dari segi pendidikan, semua pelajar diberi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara automatik untuk melanjutkan pelajaran sekiranya mendapat keputusan cemerlang, yakni 9A+ dalam pepriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa mengira warna kulit atau status kaum. Dalam bidang kesihatan pula, kerajaan memperkenalkan Klinik 1Malaysia yang diwujudkan untuk membolehkan setiap warganegara Malaysia menikmati khidmat perubatan yang baik dengan kos bayaran yang rendah, serendah RM1.

           Selain itu, rakyat diseru supaya sentiasa bertolak ansur untuk mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan faham. Rakyat Malaysia disemai semangat kekitaan, iaitu sebagai warganegara Malaysia, kita merupakan satu keluarga. Justeru, masyarakat yang berbilang kaum dinasihati supaya tidak mengkritik kaum dan agama yang lain. Jurang ekonomi atau jurang status kehidupan penduduk juga dikurangkan.



KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Banyak negara di dunia mencontohi Malaysia sebagai negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya kerana keharmonian dan kemakmuran antara kaum serta budaya menjadi pegangan kepada pandangan positif rakyat antarabangsa terhadap Malaysia.

Menurut titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, semangat perpaduan perlu dipupuk di dalam setiap rakyat Malaysia dari bangku sekolah lagi seiring dengan mengukuhkan semangat jati diri, di samping memberi keutamaan kepada mata pelajaran Sejarah dan menjadikan sistem pendidikan sebagai medium mustahak untuk mengkekalkan perpaduan kaum. Melalui penghayatan perpaduan serta sejarah negara, diharap akan lahirnya generasi muda yang akan bertindak sebagai wargangara yang matang lagi bertanggungjawab.

Selain itu, kepelbagaian agama di Malaysia juga perlu diberi keutamaan demi mengekalkan kukuhan perpaduan antara kaum dengan mengamalkan semangat perkongsian, saling menghormati dan menanam sikap toleransi sesama rakyat Malaysia. Dengan itu, masyarakat akan lebih terbuka untuk mengenali dan memahami kepelbagaian agama di negara ini demi menguatkan lagi kesefahaman antara kaum dan agama.

Tambahan pula, sambutan pelbagai hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Kaamatan boleh dijadikan platform untuk mengenali budaya dan adat resam sesama masyarakat sambil memperbaharui ikatan persahabatan. Keharmonian demi kesatuan ini juga merupakan keunikan yang bukan sahaja memperteguhkan lagi perpaduan antara kaum, malah menjadi penanda aras bagi Malaysia dalam mencapai matlamat sebagai negara yang aman dan harmoni. Misalnya, rumah terbuka bagi setiap satu perayaan diadakan untuk meraikan perpaduan kaum yang memupuk amalan ziarah-menziarahi, saling menolong dan semangat kejiranan sebagai budaya harian kita.

Perpaduan  kaum juga memainkan peranan dalam mengukuhkan lagi ekonomi negara dengan penglibatan semua kaum dalam kegiatan ekonomi. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada tahun 1970 oleh Tun Abdul Razak, adalah bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Pelancaran dasar ekonomi tersebut memastikan bahawa taraf hidup masyarakat dapat ditinggikan dalam usaha untuk mencapai kemajuan dalam pembangunan negara. Jurang perbezaan akan terhapus dalam fungsi ekonomi mengikut kaum dan lahirnya perpaduan ekonomi di kalangan rakyat, sambil meningkatkan lagi taraf pembangunan ekonomi negara.

Secara keseluruhan, perpaduan kaum merupakan antara faktor terpenting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Sekiranya kita berpecah atau bertelingkah antara satu sama lain, negara yang aman dan harmoni ini akan menjadi mundur dan pertikaian akan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi yang menjejaskan pembangunan negara. Masyarakat Malaysia perlu menjadi penggerak utama dalam memupuk dan mengekalkan perpaduan antara kaum dalam usaha untuk mencapai matlamat ke arah status negara maju serta memastikan pembangunan ekonomi negara yang stabil dan konsisten.




ISU DAN CABARAN PERPADUAN DAN PERKAUMAN

Pada zaman pemerintahan British di negara ini, mereka mengamalkan  dasar pecah dan perintah terutama membiarkan penduduk  negara ini mengamalkan kegiatan ekonomi masing-masing mengikut komposisinya. Orang Melayu dibiarkan berada di kampung yang terlibat dalam bidang pertanian  dan penanaman padi serta menangkap ikang  manakala tenaga buruh di ladang diambil dari  negara India dan di kawasan lombong bijih timah tenaga imigran dari China diambil. Kesannya jurang perpaduan mula timbul disebabkan kegiatan ekonomi yang diusahakan di samping tempat tinggal yang berbeza. Keadaan ini mengurangkan kebarangkalian penduduk Melayu, Cina dan India bersama-sama dalam satu lokaliti. Kesan jangka panjang keadaan ini ialah wujudnya jurang pemisahan antara kaum.

Bersama-sama dengan kedatangan imigran ini ialah sistem pendidikan mereka yang dibawa ke negara ini. Orang Cina dan India memiliki sistem sekolah vernakular sendiri yang membawa masuk guru, buku dan sukatan pelajaran dari negara mereka. Kesannya di negara ini telah wujud satu sistem pendidikan yang di dalamnya terdapat sekolah aliran agama, Inggeris, Cina, Tamil dan aliran  Melayu.  Kesan langsung wujudnya sistem  pendidikan zaman British ini menyebabkan terhalangnya proses asimilasi yang boleh memungkinkan pergaulan kaum dapat dilakukan dengan sempurna.

Penaklukan  Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua iaitu pada 1941-1945 juga tak kurang mendatangkan kesan yang hebat ke atas hubungan integrasi kaum di negara ini. Pihak Jepun pula mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata mengeruhkan lagi keadaan semasa dengan menyebabkan timbulnya perasaan benci dan prasangka buruk masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Orang Cina bertindak mengambil kesempatan utuk membalas dendam dengan menganggotai Bintang Tiga atau lebih dikenali sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh masa Jepun menyerah kalah dan sebelum kedatangan kembali pihak British. Ketika inilah berlakunya  keganasan 14 hari seperti membunuh, menculik, membakar masjid dan bangunan sebagai cara membalas dendam. Keadaan ini  menyebabkan berlakunya persengketaan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah apabila kebanyakan orang Cina terlibat dalam pergerakan PKM manakala orang Melayu kebanyakannya merupakan anggota pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948-1960.

Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik yang ingin mendapatkan faedah dalam pilihanraya.

Perpaduan  negara ini juga diuji dengan pelbagai isu berkaitan dengan agama dan soal hak kerakyatan dan beberapa isu sensitif lain yang mampu menjejaskan perpaduan kaum di negara ini . Ianya dibawa dan dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang cuba mendapatkan nama dalam usaha mendapatkan sokongan berterusan sehingga ke tarikh pilihanraya akan datang. Jika dibiarkan begitu sahaja tanpa diselesaikan atau dirungkai terlebih awal hal ini mampu merobek perpaduan kaum sedia ada pada masa sekarang.






CARA-CARA PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA DAPAT DI PERKUKUHKAN DAN DIMANTAPKAN

Perisytiharan Rukun  Negara pada 31 ogos 1970 sebagai idelogi kebangsaan Negara adalah bertujuan agar fikiran,pendapata dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensetif yang boleh  mencetuskan keadaan yang tidak diingini. Antara cadangan yang memantapkan perpaduan kaum di Malaysia adalah:

A) Penubuhan kelab Rukun Negara
Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka,Yang Amat Berhormat Dato seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteripada ketika itu,telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah .Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysiaberkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara Di sekolah, maka  pengetahuan pemahaman, penghayatan ,warga sekolah terutamanya golongan pelajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara kea rah semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuh.

B) Program Permuafakatan Masyarakat
Program permuafakatan antara masyarakat setempat boleh diadakan melalui program-program ilmiah seperti ceramah motivasi, aktiviti kegamaan ,makan beradab,gotong–royong, majlis perkahwinan dan sebagainya.

C) Hari keluarga dan dan sukan rakyat
Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain itu dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih saying kalangan seluruh warga masyarakat.

D) Sambutan bulan patriotisme dan kemerdekaan
Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulang tahun kemerdekaan Negara. Jawatankuasa sambutan peringatan sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan,Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar.Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan. Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotic, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran, “Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, lukisan poster tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri, dan kebangsaan




PENDEKATAN MENANGANI CABARAN PEMBINAAN PERPADUAN DI MALAYSIA

1. Memberi galakan kepada penduduk berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.
ü  Menempatkan penduduk di satu satu kawasan boleh menggalakkan pergaulan dan pertembungan yang lebih akrab. Beberapa kaedah di kenalpasti sebagai langkah langkah membolehkan rakyat Negara supaya berpindah dari penempatan masing-masing. 

2. Penyeragaman Sistem Pendidikan (melalui dasar-dasar pelajaran)
ü  Semua dasar pelajaran seperti Penyata Barnes, Penyata Fenn-Wu , Undang-undang Pelajaran 1952, Penyata Razak , Penyata Rahman Talib , Dasar Pendidikan Kebangsaan dan lain-lain dasar berhubung dengan pendidikan yang berperanan untuk memupuk perpaduan.

3. Peranan Media Massa
ü  Alat-alat media massa pada waktu itu seperti Radio dan televisyen Malaysia (RTM) dan akbar digunakan untuk pembinaan bangsa.
ü  Media massa penting dalam memastikan tiada lagi penguasaan media massa asing , terutama dari Negara China dan India yang menyebarkan fahaman , ideologi dan senario politik di Negara itu.

4. Integrasi Ekonomi
ü  Usaha ini dilakukan melalui dasar-dasar pembangunan seperti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru , Dasar Pembangunan Nasional, dan lain-lain.

5. Penyatuan Fahaman Politik
ü  Sistem kerajaan campuran merupakan salah satu cara bagi menggabungkan fahaman politik antara kaum
ü  Sistem ini menggambil kira juga parti-parti yang terdapat di Sabah dan Sarawak.
ü  Sistem Barisan Nasional muncul, keanggotaan parti komponen semakin bertambah.

6. Aspek-Aspek Sosial
ü  Pengenalan dan penerangan dasar sosial Rukun Negara , Dasar Belia Negara , Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain.

  

 
KONSEP 1MALAYSIA YANG MEMBAWA PERPADUAN KAUM DAN KEMASYARAKATAN DI MALAYSIA

           1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.

Dalam erti kata lain 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi Negara. Syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyat nyabersatu padu. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1 Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza.

Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan. 1 Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan baginegara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

1 Malaysia adalah penerusan agenda membina negara perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menujukecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.



KESIMPULAN

Kesimpulannya, masyarakat di negara ini perlulah bersatu padu dan memupuk perpaduan antara satu sama lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dengan keamanan yang berjaya kita kecapi hari ini disamping dapat mengekalkan keharmonian antara kaum yang berbilang bangsa dimana kita hidup dalam sebuah komuniti. Oleh demikian, walaupun ada perbezaan ideologi politik kita haruslah mengawalnya supaya tidak menjadi tegang serta menjaga hubungan baik sesama masyarakat dengan keharmonian yang telah terbina sekian lama.




RUJUKAN

Abidin, M  ( 1980 ). Pendidikan  kea rah  perpaduan. Kuala Lumpur; Penerbitan Fajar
Bakti Sdn. Bhd

Ahmad. H . S  ( 1995 ). Penghantar Sains Politik. Kuala Lumpur; Pelangi Professional
            Publisher Sdn. Bhd

Aziz,  B.  A  ( 1996 ).  Perlembagaan sebagai penyatan sejarah dan  nilai-nilai asal
Negara Kuala Lumpur; Pelangi Professional Publisher Sdn. Bhd

Salleh, A. ( 1997 ). Prinsip Perlembagaan dan pemerintahan di Malaysia. Kuala Lumpur
            Dewan Bahasa dan Pustaka

Comments